comscore
Tumpuan :
Hiburan

Pertandingan Cosplay KJH meriah 

SHAH ALAM: Pertandingan dan pameran Cosplay Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda hari ini menerima sambutan luar biasa.

12 peserta kanak-kanak dan 33 peserta dewasa mencuba nasib dalam pertandingan yang julung kali diadakan itu.

Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Kandungan dan Siaran TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, debut pertandingan berkenaan bertujuan menghargai komuniti Cosplay serta tawaran pembaharuan menarik.

“Kami menghubungi komuniti Cosplay tempatan bagi membantu jayakan pertandingan itu. Sambutannya sejak pendaftaran yang dibuat dalam talian lagi memang sangat luar biasa.

“Kesungguhan serta usaha kreatif yang mereka pamerkan dalam pertandingan itu sangat-sangat mengagumkan. Selaku juri bersama dua lagi pakar Cosplay, saya sendiri belajar banyak ilmu mengenainya.

“Perincian, material, kekemasan memang antara kriteria terpenting untuk tentukan pemenang. Kami memang berharap pendedahan ini akan terus memartabatkan industri Cosplay tempatan kita,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Nurlisia menambah pertandingan Cosplay itu cuma akan diadakan di satu lokasi ini saja.

Pertandingan seumpama dengan tema lain akan dibuat di lokasi atau negeri lain.

“Kalau ke Kelantan, kami akan buat pertandingan busana tradisional Melayu. Demikian juga kalau ke Sarawak akan buat pertandingan yang sesuai dengan budaya di sana,” katanya.

Ahli perniagaan, KingRusydi atau nama sebenarnya Raja Muhammad Rusydi Raja Mahmood, 27, yang memakai kostum karakter Scorpion dalam Mortal Kombat dinobatkan juara untuk kategori dewasa.

Membawa pulang wang tunai RM3,900, KingRusydi mengakui tidak percaya kemenangan berpihak kepadanya kerana bersaing dengan peserta Cosplay yang rata-rata memang profesional.

“Sebenarnya kostum itu saya buat untuk pertandingan lain. Tapi saya cubalah nasib dalam pertandingan ini. Tak sangka sangat dipilih juara kerana ada peserta lain memang rakan saya dan cukup pakar.

“Kostum Scorpion saya mengambil masa sebulan untuk disiapkan dan baju dalam dijahit sendiri isteri,” katanya yang sering bertanding serta menjadi juri pertandingan Cosplay dalam dan luar negara.

Tempat kedua dimenangi AJ Law Obdam dengan karakter Ootengu dan ketiga milik Zainal Haziq Cosplay (Gundam).

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1500 dan RM500.

Kostum terbaik dimenangi Bumblebee dan persembahan terbaik milik Palee Abu (Roshi) yang membawa pulang RM500.

Kategori kanak-kanak dimenangi Hani Ixara dengan karakter Lily Moon, Future (Grim Foxy), dan Zoey (Nana).

Masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM390, RM150, dan RM50.

Kostum terbaik dimenangi Kal (Halo 3) dan persembahan terbaik milik Airie Little Mermaid (Fiona) yang membawa pulang RM300.

Loading...
Terkini