comscore
Tumpuan :
Nasional

Pertemuan Anwar dan pemimpin Hamas: Jangan ulangi turunkan laporan berita, tegas Fahmi kepada Meta

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berharap Meta Platforms Inc (Meta) tidak mengulangi tindakan menurunkan laporan berita pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di platform media sosial mereka.

Beliau menegaskan, pihak penyedia platform media sosial juga perlu menghormati hak kebebasan media di negara ini termasuk pelaporan mengenai sebarang kenyataan yang dibuat oleh anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri.

“Alhamdulillah, kita harap tidak berulang (tindakan Meta). Pada Jun nanti insya-Allah saya akan mengadakan pertemuan dengan semua platform.

“(Pertemuan) untuk memberi penegasan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dengan kepimpinan yang ada, kami mempunyai pendirian yang sangat jelas dalam beberapa perkara,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Meta hari ini kembali memuat naik laporan berita pertemuan Anwar dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di platform media sosial mereka yang diturunkan, sejak kelmarin.

Syarikat itu dilaporkan berkata, berlaku kesilapan dalam tindakan tersebut selepas kerajaan Malaysia mahu mengenakan tindakan tegas terhadap Meta dan syarikat media sosial lain jika mereka terus menyekat kandungan pro-Palestin di platform mereka.

Anwar kelmarin bertemu pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar dan turut menegaskan, walaupun beliau mempunyai hubungan baik dengan pemimpin politik kumpulan itu, beliau tidak terbabit dalam tindakan ketenteraannya.

Semalam, Fahmi memohon penjelasan Meta mengenai sekatan siaran kepada dua organisasi media terhadap pertemuan itu, serta penutupan akaun Facebook satu lagi organisasi medua yang menyiarkan isu Palestin, bulan lalu.

Menyifatkan tindakan syarikat terbabit jelas melanggar hak kebebasan media di negara ini, katanya, beliau akan menghantar surat kepada Meta bagi menuntut penjelasan berhubung perkara tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini