comscore
Tumpuan :
Nasional

Pertingkat pendidikan anak Bangsa Johor – Pemangku Sultan Johor

ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin mengangkat sumpah pada Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail di Istana Bukit Serena di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menitahkan mahu melihat pendidikan anak Bangsa Johor dipertingkatkan.

Titah itu diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor yang baharu, Aznan Tamin ketika Istiadat Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berlangsung di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.

Aznan menyifatkan ia sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan baik.

ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail selepas majlis mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di Istana Bukit Serena di Johor Bahru.

“Saya menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor di atas perkenan majlis angkat sumpah pagi tadi. Ini merupakan satu tanggungjawab besar yang diberikan kepada saya terutama bidang pendidikan.”

“Hasrat pertama Pemangku Sultan Johor adalah ingin melihat pendidikan anak Bangsa Johor dipertingkatkan agar tidak tercicir. Ini tanggungjawab besar dan saya rasa terharu kerana diberi ruang dan peluang sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.

Aznan memaklumkan beliau mula memasuki pejabatnya di Kota Iskandar hari ini dan akan menunaikan tanggungjawab di bawah portfolionya itu dengan baik.

“Dalam masa seminggu ini, saya akan melihat agensi-agensi berkaitan portfolio dan meneliti segala perkara serta perancangan yang telah dibuat. Saya juga akan meneruskan apa (inisiatif) baik yang telah dilakukan sebelum ini dan melaksanakan tanggungjawab dengan sehabis baik,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat.

Aznan menggantikan protfolio Norlizah yang digugurkan dalam penstukturan semula terbabit bagi tahun 2024 hingga 2027.

Dalam penstukturan itu tugasan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merangkumi Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan negeri Johor.

Manakala barisan empat exco kekal iaitu ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor); ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan Negeri Johor); ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor) dan ADUN Serom, Khairin- Nisa Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Negeri Johor).

Lima exco berubah portfolio iaitu ADUN Tenggaroh, K. Raven Kumar (Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan & Budaya Negeri Johor); ADUN Larkin, Mohd Hairi Md Shah (Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan & Koperasi Negeri Johor) dan ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan & Alam Sekitar Negeri Johor).

Turut berubah ADUN Paloh, Lee Ting Han (Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna & Sumber Manusia Negeri Johor) dan ADUN Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur & Komunikasi Negeri Johor).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini