comscore
Tumpuan :
Nasional

Pertukaran cuti hujung minggu Johor: Penyelarasan dilakukan, tak ganggu perkhidmatan kepada rakyat

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pertukaran semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari tahun depan akan melibatkan penyelarasan di peringkat pusat dan negeri.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, penyelarasan itu perlu dibuat supaya tidak timbul sebarang isu yang boleh mengganggu perkhidmatan kepada rakyat terutama membabitkan agensi pusat.

“Titah Pemangku Sultan Johor (mengenai pertukaran semula cuti hujung minggu) di peringkat Jemaah Menteri hari ini tidak dibincangkan.

“Tapi, semestinya dari segi penyelarasan di peringkat pusat dan juga peringkat negeri itu, dari segi pentadbiran memang akan diuruskan supaya tidak berlaku apa-apa isu dari segi memberi perkhidmatan terutama oleh agensi Persekutuan,” katanya dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor ada dibincangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan berkata, cuti hujung minggu di negeri itu akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).

Pada 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini