Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Institusi pendidikan negeri Johor akan diletakkan dalam Kumpulan B yang menetapkan Sabtu dan Ahad sebagai cuti hujung minggu berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sekolah di Johor akan diletakkan bersama dengan sekolah di Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Sarawak dan Selangor.
“Perubahan ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
“Ia akan membabitkan perubahan kepada Kalendar Akademik Sesi 2024/2025 dan Kalendar Akademik Sesi 2025/2026,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di negeri itu akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).
Titah baginda, penukaran cuti hujung minggu tersebut adalah kehendak rakyat negeri terbabit untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.