comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pertukaran KSP perubahan biasa – PM

Datuk Seri Asri Hamidin, dikatakan sudah dicutikan sejak Selasa lalu.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) merupakan perubahan biasa.

Beliau berkata pertukaran Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon bukanlah seperti yang dilaporkan oleh media.

“Ini hanya pertukaran biasa, yang juga membabitkan sama ada kenaikan pangkat atau perubahan jabatan dan urusan.

“Wewenang (hak dan kekuasaan untuk berbuat sesuatu atau untuk mengeluarkan perintah) perbincangan akan diputuskan penjawat awam yang diketuai Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali),” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan senarai Timbalan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan di sini malam ini.

Sebelum ini dilaporkan Asri, 56, yang dilantik pada 2020, telah ‘dicutikan’ kerana kelibat beliau tidak kelihatan ketika majlis sambutan hari pertama Perdana Menteri yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan pada 6 Disember lepas.

Malah ketika sidang media selepas taklimat dengan pegawai kanan Kementerian Kewangan, Anwar menyebut perbincangan mengenai kedudukan penasihat kewangan negara dengan KSP baharu.

Mengenai kedudukan Ketua Setiausaha dan pegawai kanan kementerian, Perdana Menteri berkata ia juga di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara yang akan menguruskan perkara itu.

Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan empat kementerian digabungkan manakala satu portfolio dimansuhkan.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Luar Bandar digabungkan, yang kini dikenali sebagai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Tenaga Sumber Asli pula digabungkan menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Portfolio yang dimansuh ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas). – BERNAMA

Loading...
Terkini