Tumpuan :
Nasional

Perubahan teknologi, kestabilan politik kunci tarik pelabur – PM

Foto: Anwar Ibrahim / FB

KUALA LUMPUR: Kestabilan politik dan kesiapsiagaan dalam menghadapi perubahan teknologi global adalah elemen penting untuk menarik minat pelabur, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar menegaskan bahawa Malaysia memerlukan sokongan pelabur tempatan dan asing yang didorong oleh kestabilan serta keharmonian ASEAN.

Berucap pada pelancaran produk Kumpulan YTL di United Kingdom (UK), Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan bahawa keadaan ini mencerminkan peralihan kemajuan ekonomi dan kejayaan negara.

“Sokongan berkenaan diperlukan kerana rantau ASEAN dahagakan sinergi pelaburan serta perdagangan baharu. Malaysia antara lokasi penting yang perlu berada dalam radar pelabur dunia.

“Mengambil kira dua faktor berkenaan, selain dasar kerajaan yang kritikal terhadap soal tenaga, kecerdasan buatan dan industri semikonduktor,” katanya.

Semalam media menyebut lawatan Anwar ke UK bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang, memandangkan UK merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Eropah.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menyatakan keyakinannya bahawa lawatan itu akan membawa dimensi baharu kepada hubungan Malaysia-UK, khususnya selepas Keir Starmer dilantik sebagai Perdana Menteri pada Julai lalu.

Lawatan kerja lima hari Anwar ke UK itu bermula semalam waktu Malaysia atas undangan Starmer.

Beliau turut diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakari Jaafar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini