KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap Ahli Parlimen pembangkang yang enggan berbincang dengan kerajaan dalam isu peruntukan wakil rakyat.
Anwar berkata kerajaan telah melantik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bagi membincangkan perkara itu, malah kaedahnya juga sama seperti ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pakatan Harapan (PH) yang pada masa itu di blok pembangkang jelas beliau, berbincang dengan kerajaan sehingga ia disalurkan selepas perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) ditandatangani.
“Ini tak payah sain dan bincang…kata ini hak kami, ini bukan hak Ahli Parlimen.
“Runding setuju kita luluskan, kalau tak sampai bila-bila pun kita tak luluskan.
“Runding jangan sombong dan angkuh tuntut,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika penggulungan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat.
Anwar sebelum ini berulang kali menegaskan kesediaannya memberi jumlah peruntukan sama kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter yang diluluskan.