comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan RM320 juta tambah baik kehidupan rakyat, capaian internet lebih berkualiti – MCMC

PUTRAJAYA: Peruntukan RM320 juta di bawah Belanjawan 2025 bertujuan untuk peningkatan capaian internet, mampu menganjak produktiviti institusi pendidikan serta taraf hidup rakyat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya komited untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memastikan capaian internet yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat.

Di bawah Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, kerajaan memperuntukkan RM120 juta untuk penambahbaikan liputan internet di Institusi Pengajian Tinggi Awam.

MCMC berkata peruntukan itu dapat membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.

Peruntukan RM100 juta di bawah Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar pula, menurut MCMC akan membantu meningkatkan capaian internet di sekolah desa dan pedalaman seluruh negara.

“Selain itu, MCMC turut mengalu-alukan peruntukan RM100 juta untuk pemerkasaan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Peruntukan itu dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan dalam talian seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata pada masa yang sama rangkaian kedua 5G yang bakal diumumkan kelak berupaya meningkatkan daya saing industri tempatan sekali gus membolehkan mereka bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini