Tumpuan :
Nasional

Peruntukan RM60,000 ADUN pembangkang di Pulau Pinang dikekalkan bagi 2025

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM60,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bagi tahun 2024, dan jumlah itu akan dikekalkan tahun 2025, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menambah peruntukan kepada ADUN pembangkang, kerana telah melantik Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) di kawasan berkenaan.

“Bagi tahun 2024, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM500,000 kepada ADUN kerajaan, dan masing-masing RM60,000 (ADUN pembangkang) serta RM100,000 (PPK).

“Di samping itu, segala peruntukan demi manfaat penduduk, tidak kira di kawasan ADUN kerajaan mahupun ADUN pembangkang telah diselaraskan secara bersepadu oleh jabatan, agensi serta anak syarikat kerajaan negeri, yang antara lain diterjemahkan kepada projek dan program di bawah Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau pelaksanaan projek program secara langsung oleh kerajaan negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Kon Yeow menjawab soalan Zulkefli Bakar (PN-Penanti) yang bertanya berkenaan peruntukan diterima ADUN pembangkang.

Beliau turut menekankan bahawa sebagai wakil rakyat, semua ADUN boleh mengetengahkan masalah atau permintaan penduduk di kawasan mereka kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri yang sentiasa bersedia membantu rakyat dengan mengamalkan dasar “no wrong door policy”.

Sementara itu, dalam soalan tambahannya, Zulkefli mengenai sama ada kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk meningkatkan elaun semua ADUN agar mereka boleh berkhidmat kepada rakyat di kawasan sendiri dengan tambahan peruntukan berkenaan.
Kon Yeow berkata sememangnya elaun ADUN kali terakhir diselaraskan 10 tahun lepas, dan sepatutnya diselaraskan setiap 10 hingga 15 tahun.

“Namun, elaun wakil rakyat di peringkat Parlimen juga tiada penyelarasan sejak 10 tahun lepas. Sekiranya kerajaan Persekutuan melakukan kajian tentang keperluan penyelarasan ini, kerajaan negeri juga akan melakukan kajian berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini