comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukkan RM11 juta bangunkan lebih banyak Taman Rekreasi MADANI di Perak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan penyerahan peruntukan RM11 juta oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming kepada EXCO Perak, Sandrea pada Majlis Perasmian Taman

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM11 juta kepada kerajaan Perak bagi membangunkan lebih banyak Taman Rekreasi MADANI di negeri itu, tahun ini.

Penyerahan peruntukan itu disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching yang mewakili kerajaan negeri dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Taman Rekreasi MADANI Woodlands, dekat Bandar Baru Tambun, di sini, hari ini.

Pembinaan projek berkenaan dilaksanakan oleh KPKT melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) dengan kerjasama Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).

Ketua Pengarah JLN, Mansor Mohamad berkata, daripada jumlah RM11 juta itu, sebanyak RM6 juta disalurkan untuk kerja menaik taraf taman yang usang kepada taman rekreasi MADANI, manakala RM5 juta lagi untuk projek kecil Bahagian Pembangunan 1 (BP1) di Perak.

Beliau berkata, setiap projek naik taraf membabitkan kawasan berkeluasan antara 0.6 hektar hingga 1.2 hektar (1.5 ekar hingga tiga ekar) itu menelan kos RM500,000 dengan tempoh pembinaan antara tiga sehingga empat bulan.

“Setakat ini di Perak, enam taman rekreasi MADANI berada dalam peringkat perolehan dan enam taman lagi dalam proses pemilihan tapak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Taman Rekreasi MADANI Woodlands adalah kawasan lapang yang dinaik taraf dengan kemudahan rekreasi untuk aktiviti riadah penduduk setempat.

Taman rekreasi berkeluasan 1.13 hektar itu terdiri daripada dataran terbuka, permainan kanak-kanak, gelanggang serbaguna dan trek larian bagi memenuhi keperluan penduduk.

Pembangunan taman rekreasi ini turut mengekalkan pokok-pokok matang sedia ada yang bertujuan bagi membentuk persekitaran hijau dan mampan di kawasan tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini