comscore
Tumpuan :
Nasional

Perutusan Negara: 3 masalah fiskal perlu ditangani untuk tambah baik pengurusan wang awam 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenal pasti tiga masalah fiskal yang perlu diselesaikan ke arah menambah baik pengurusan wang awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia membabitkan asas hasil yang kecil, perbelanjaan yang tidak berhemat dan bebanan hutang.

Bagi asas hasil kecil katanya, setakat tahun lalu nisbah hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada di paras 12.6 peratus.

“Ini jauh lebih rendah ketimbang purata negara Asia Pasifik sebanyak 19 peratus dan negara berpendapatan tinggi yang umumnya menjangkau 30 peratus.

“Bagi perbelanjaan yang tidak berhemat, subsidi pukal perlu dihentikan.

“Subsidi kita antara tertinggi berbanding di dunia. Untuk apa (pemberian subsidi) sedangkan, subsidi pukal lebih menguntungkan golongan kaya kerana penggunaan atau perbelanjaan mereka bagi sesuatu barang dan perkhidmatan lebih besar.

“Selain itu, sebanyak 3.5 juta warga asing juga mendapat faedah daripada subsidi pukal,” katanya dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.

Bagi fiskal ketiga iaitu bebanan hutang, Perdana Menteri menjelaskan, wujud kekangan hasil dan perbelanjaan tidak berhemat yang menyebabkan kerajaan menanggung bebanan hutang.

“Paras hutang kini mencecah RM1.2 trilion atau 64.3 peratus KDNK. Jika termasuk liabiliti lain, ia mencecah RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus KDNK.

“Timbunan hutang hanya membazir wang rakyat kerana banyak dihabiskan untuk bayar faedah hutang. Tahun ini, setiap RM1 pungutan cukai, 16 sen hanya untuk membayar faedah hutang, belum lagi bicara soal pokok atau prinsipal hutang,” katanya.

Dalam menambah baik pengurusan fiskal negara, beliau berkata, kerajaan akan melakukan penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).

Katanya, Sasaran FRA ialah menurunkan paras hutang untuk tidak melebihi 60 peratus dan defisit fiskal tiga peratus dalam jangka masa sederhana.

“Kerajaan juga mula memperluas asas hasil melalui reformasi percukaian. Cukai diperkenal tidak membebankan dan bersifat progresif, yakni dikenakan mengikut pendapatan supaya rakyat susah tidak dikenakan cukai yang sama dengan golongan kaya.

“Cukai Barang Bernilai Rendah, Cukai Keuntungan Modal Bagi Saham Tidak Tersenarai dan penambahbaikan kepada Cukai Perkhidmatan telah diperkenalkan.

“Kita mengunjurkan peningkatan hasil cukai negara sebanyak RM4.5 bilion. Dalam soal subsidi, kerajaan perlu mengambil pendekatan berani untuk menyasarkan semula subsidi.

“Tindakan kita dalam menyasarkan semula subsidi memberi penjimatan kepada wang rakyat yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan menjana penjimatan RM4 bilion hasil penyasaran subsidi mengikut penggunaan elektrik.

Tahun ini, katanya, subsidi elektrik ditambah baik dengan 85 peratus rakyat tidak terjejas dan kekal menikmati subsidi manakala baki 15 peratus yang menggunakan elektrik melebihi 600 kilowat-jam tidak lagi layak menerima subsidi.

“Harga ayam turut diapung dan tidak lagi disubsidi. Kerajaan dapat jimat RM100 juta sebulan. Kesannya bukan sahaja bekalan ayam stabil, tetapi harga ayam jauh lebih rendah ketimbang sebelum,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini