comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesakit buah pinggang tahap akhir didakwa terima deposit tanpa lesen

Seorang pesakit buah pinggang tahap akhir, Sai Bee Nyean (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menerima deposit berjumlah RM103,635 tanpa lesen dua tahun lalu. – FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Seorang pesakit buah pinggang tahap akhir dan bertongkat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen berjumlah RM103,635, dua tahun lalu.

Tertuduh Sai Bee Nyean, 59, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima deposit berjumlah RM103,635 daripada seorang wanita seusia dengannya tanpa lesen sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis No 9, Lorong Melor Sintat Garden Off, Jalan Raja Uda, Butterworth antara bulan Mei hingga Ogos 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 ( 2) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Ch’ng Kim Hock.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin serta menetapkan syarat tambahan dengan meminta tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 26 Februari depan untuk serahan dokumen.

Loading...
Terkini