comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara guru diikat sebelum dirompak

BEAUFORT: Pesara guru wanita diikat sebelum seorang lelaki memakai topi keledar merompak rumah mangsa di Kampung Datung Melabau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, penjenayah terbabit melarikan gelang emas, wang tunai RM2,300 dan beg tangan mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa berusia 58 tahun baru selesai menunaikan solat lalu ternampak kelibat individu melintas melalui tingkap rumahnya.

Katanya, ketika mangsa memeriksa pintu dapur, dia terkejut melihat seorang lelaki yang tidak dikenali memakai topi keleder dengan menutup mukanya menggunakan visor sedang berdiri di hadapan pintu dapur rumahnya.

“Lalu mangsa terus menutup pintu dapur tetapi suspek menolak pintu berkenaan sehingga mangsa terjatuh.

“Suspek kemudian mengikat tangan mangsa dibahagikan belakang menggunakan pita Selofan warna jernih dan membawa mangsa ke dalam bilik tidur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian mengugut bunuh mangsa sekiranya meminta pertolongan.

“Suspek kemudian mengambil gelang emas yang dipakai di tangan mangsa, dua beg tangan yang diletakkan di atas meja makan mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa.

“Suspek turut mengambil wang tunai berjumlah RM2,300 dan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM12,700,” katanya.

Usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Sekyen 394/506 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini