comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesara tentera bertemu setelah 50 tahun

Seramai 70 pesara ATM pengambilan ke-27 Kem Sebatang Karah, Port Dickson 1974 berjumpa dalam pertemuan semula di sini, kelmarin.

Oleh: Aisyah Musa 

PUTRAJAYA: Meskipun selepas 50 tahun, memori menjalani latihan ketenteraan bersama-sama nyata masih utuh terpahat dalam sanubari 70 pesara anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pengambilan ke-27.

Dipertemukan semula dalam satu majlis baru-baru ini, kenangan pahit manis di Kem Sebatang Karah, Port Dickson sejak 1974 itu diimbau kembali sekali gus mengeratkan lagi hubungan yang sekian lama dirindui.

Pengerusi Majlis Reunion ke-50 Pesara ATM Pengambilan ke-27 , Kapten (B) Aleemin Othman, 71, berkata pertemuan semula itu sepatutnya diadakan tiga bulan lalu jika mengikut perancangan namun masa tidak mengizinkan ditambah pula dengan masing-masing terikat dengan komitmen sendiri.

Leftenan Udara (B) James Lee Jit Tong, 69, yang menetap di Sydney. – Foto: NSTP

“Untuk bertemu semula memang susah sebab masing-masing tinggal berjauhan termasuk di Singapura dan Australia.

“Jadi selepas beberapa kali berbincang kami sepakat menetapkan hari ini (kelmarin) untuk bertemu,” katanya kepada Buletin TV3.

Sementara itu, Leftenan Udara (B) James Lee Jit Tong, 69, yang menetap di Sydney lebih lapan tahun berkata, majlis ini sangat berharga baginya selepas 50 tahun tidak bertemu dengan rakan-rakan parajurit.

Menurutnya, dia pulang ke tanahair semata-mata untuk berjumpa rakan dan sebelum ini hanya berhubung melalui kumpulan WhatsApp.

“Dengan adanya program ini kita berpeluang bertemu rakan lama dan mengimbau kembali kenangan dahulu,” katanya.

Bagi Leftenan Kolonel Udara (B) Kamaruddin Abdullah, 68, sebelum ini dia berpeluang bertemu beberapa rakan lima tahun lalu, tetapi kali ini lebih bermakna kerana dapat berjumpa rakan yang sudah hampir 50 tahun tidak bertemu.

“Saya amat terharu apabila program ini mendapat sambutan daripada rakan dari di luar negara yang sanggup pulang semata-mata mahu bertemu sahabat lain dan mengimbau nostalgia ketika di alam ketenteraan,” ujarnya yang masih aktif dalam sukan memanah dan terjun udara.

Antara yang hadir termasuk mantan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Aziz Jaafar, mantan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Roslan Saad dan bekas jurulatih bola sepak, Kapten (B) Irfan Bakti Abu Salim.

Pengambilan anggota ATM ke-27 Kem Sebatang Karah, Port Dickson pada 1974 ini membabitkan seramai 160 anggota pelbagai pangkat dan 32 daripadanya sudah meninggal dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini