comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesara tentera maut dirempuh lori dalam nahas 5 kenderaan

Pesara tentera maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan berhampiran Jalan Seremban-Tampin, petang semalam. – FOTO: PDRM

SEREMBAN: Seorang pesara tentera berusia 74 tahun maut selepas terbabit dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Seremban-Tampin di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan membabitkan sebuah bas, lori, dua kereta dan sebuah motosikal jam 6 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Wira dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang wanita dari Ampangan menghala ke Port Dickson dikatakan rosak di lorong kiri.

“Kemudian datang sebuah kereta jenis Hyundai Getz dipandu seorang lelaki dipercayai melanggar belakang Proton Wira,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tidak lama kemudian sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang lelaki berhenti untuk memberi bantuan kepada kenderaan yang terbabit kemalangan awal.

“Selepas itu datang sebuah lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki bersama tiga penumpang lelaki dari arah sama dipercayai berhenti di belakang kereta yang terbabit kemalangan bagi mengubah haluan ke lorong kanan.

“Tiba-tiba lori itu dilanggar sebuah bas yang dipandu seorang lelaki bersama 40 pekerja kilang di belakang sebelah kanan mengakibatkan lori menggelungsur ke hadapan dan melanggar pemandu Proton Wira, pemandu Hyundai Getz dan penunggang motosikal,” katanya.

Jelas beliau, akibat kemalangan itu pemandu Proton Wira cedera di kepala dan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Pemandu Hyundai Getz dan penunggang motosikal cedera ringan dan dihantar ke zon kuning Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Penumpang lori, penumpang Proton Wira serta penumpang bas tidak cedera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini