comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesara wanita rugi lebih RM600,000 diperdaya sindiket forex

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pesara wanita terpaksa berputih mata apabila hasratnya mendapatkan kembali wang dilaburkannya Februari lalu lebur apabila sekali lagi dipedaya sehingga kerugian sebanyak RM619,390.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian terbabit pada 12 Mei lalu.

Katanya, mangsa mendakwa menerima email daripada sebuah syarikat membuat tawaran mendapatkan semula wang dilaburkannya dalam pelaburan Forex pada 2020 sebanyak USD$4,000 (RM18,808) yang gagal dikeluarkan.

“Mangsa kemudian bersetuju dengan tawaran diberikan sebelum diminta membuat bayaran.

“Mangsa kemudiannya melakukan beberapa kali transaksi bagi memulakan proses mendapatkan semula wang berkenaan. Sebelum ini, beliau terpedaya dengan skim pelaburan kripto ditawarkan sindiket sama yang menjanjikan nilai keuntungan sebanyak 35 hingga 50 peratus sebulan berdasarkan jumlah pelaburan yang dibuat,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Ramli berkata, mangsa melakukan 28 transaksi ke tujuh akaun bank yang berbeza dengan nilai keseluruhan RM619,390.

“Bagaimanapun sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan atau mendapat semula wang pelaburan yang dijanjikan. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini