comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesawah dianggar alami kerugian cecah RM50 juta akibat banjir di negeri utara

Foto fail NSTP

ALOR SETAR: Banjir di negeri utara dianggarkan menyebabkan kira-kira 30,000 tan hasil padi terjejas dengan kerugian lebih RM50 juta kepada petani.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, jumlah itu ditaksir berdasarkan bancian MADA yang menganggarkan hampir 6,000 hektar sawah di Kedah dan Perlis dinaiki air.

“Kawasan MADA mempunyai 100,000 hektar sawah dan terdapat 30,000 hektar lagi di luar kawasan MADA. Dianggarkan 6,000 hektar sawah dinaiki air dengan kerugian sehingga 30,000 tan hasil padi.

“Jumlah itu bersamaan nilai RM50 juta berdasarkan harga pembelian padi hari ini iaitu RM1,800 setan oleh pengilang padi swasta dan purata hasil padi lima metrik tan setiap hektar,” katanya dihubungi BH hari ini.

Abdul Rashid berkata, pihaknya bimbang kerosakan hasil padi boleh mencecah hingga 7,000 hektar secara keseluruhan berikutan petani di Pulau Pinang turut terjejas banjir.

Foto fail NSTP

Bencana banjir minggu lalu, menjejaskan pendapatan petani berikutan kebanyakan padi hanya menunggu masa untuk dituai.

“Kerosakan tidak begitu teruk pada 2005 dan 2010 kerana banjir ketika penanaman padi berada di peringkat awal. Kali ini, banjir melanda ketika tanaman hampir dituai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang negeri (LPP), Nor Rahila Mohd Yusof berkata, 1,260 hektar sawah di bawah agensi berkenaan terjejas banjir.

Berdasarkan tinjauan pada 19 September, kerosakan dilaporkan di 64 unit petani di seluruh negeri membabitkan 853 petani.

“Kami menganggarkan kerugian petani yang terjejas RM11.34 juta berdasarkan 6,300 metrik tan hasil padi yang rosak akibat banjir dan harga pembelian RM1,800 setiap metrik tan oleh pengilang padi,” katanya.

Nor Rahila berkata terdapat 19,611 petani di bawah agensi berkenaan yang mengusahakan lebih 34,000 hektar sawah di Kedah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini