Tumpuan :
Nasional

Pesawah digalak daftar Skim Takaful Tanaman Padi (STTP)

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. – FOTO: NSTP

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Pesawah digalak mendaftar dengan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang diperkenalkan Agrobank bagi membolehkan mereka menerima perlindungan, terutama ketika berdepan risiko kerugian akibat bencana alam seperti banjir.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, melalui skim itu mereka layak menerima pampasan berjumlah RM3,000.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen digesa memainkan peranan dalam membantu pesawah yang terjejas di kawasan masing-masing supaya segera mendaftar dengan STTP, sekali gus mendapat manfaat perlindungan insurans itu.

“Baru 30,000 orang berdaftar, kita masih lagi perlu 60,000 untuk mendaftar. Ini secara di peringkat awalnya, ia diberi secara percuma oleh AgroBank, akan membiayai RM64.80 per hektar. Kalau daftar sahaja berlaku bencana, AgroBank akan beri pampasan RM3,000 tetapi kepada mereka yang berdaftar sahaja boleh daftar di PPK atau AgroBank cawangan terdekat”, katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkenaan usaha mengurangkan kerenah birokrasi bagi pendaftaran bantuan kepada petani terjejas bencana alam, di Dewan Rakyat pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad meminta mana-mana petani atau penternak yang tidak menerima bantuan kemusnahan akibat banjir untuk melaporkan kepadanya atau kementerian.

Penelitian akan dibuat oleh pegawai di lapangan sekiranya berlaku kecicirian.

Jelas beliau, pegawai terlibat akan turun padang melawat kawasan terjejas bagi melakukan penilaian dan bancian sebelum bantuan disalurkan.

“Skim bantuan dijalankan secara teliti, ada pengadu sawah tenggelam, sayur musnah atau ternakan mati. Maka pegawai-pegawai akan membuat penelitian, setelah disahkan berlaku kerosakan, kemusnahan, maka KPKM akan cuba membantu.

“Kalau ada di mana-mana dilihat memang binatang ternakan, tanaman padi terjejas, tapi tak dapat bantuan, sila hantar maklumat itu kepada saya atau KPKM kerana dalam usaha kita, mungkin berlaku kealpaan, kita sedia bertindak memberi keadilan sebaik-baiknya.

“Macam banjir di Kedah baru-baru ii, belum pun kita selesai bagi bantuan sepenuhnya, datang banjir kedua, jadi bancian kedua perlu dibuat. Kita akan cuba kita cari penyelesaian terbaik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini