ALOR SETAR: Pesawah di seluruh negara disaran mendaftar Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) supaya dapat menerima pampasan jika menanggung kerugian akibat bencana alam seperti banjir dan kemarau termasuk serangan haiwan perosak serta penyakit tanaman.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini berikutan kerajaan sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk tahun pertama pelaksanaan selepas skim itu dilancarkan pada 13 September lalu.
Katanya, inisiatif perlindungan takaful itu diadakan khusus untuk tanaman padi bagi semua pesawah individu yang berdaftar dengan agensi diiktiraf oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“STTP menyediakan pampasan takaful kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat kemusnahan tanaman padi yang disebabkan oleh bencana alam seperti banjir dan kemarau termasuk kemusnahan akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.
“Jadi saya meminta kepada semua pesawah untuk mendaftar di bawah skim ini bagi mendapatkan pampasan ketika tanaman musnah akibat banjir ataupun lain-lain bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kerosakan infrastruktur pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan tanaman padi di Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.
Amir Hamzah berkata, kadar pampasan diberikan bergantung kepada peringkat tanaman iaitu RM1,500 sehektar semusim bagi fasa pertama iaitu peringkat tanaman 1 hingga 50 hari.
“Bagi bayaran fasa dua pula adalah RM2,250 sehektar semusim untuk peringkat tanaman 51 hingga 75 hari, manakala fasa tiga untuk peringkat tanaman lebih 75 hari diberikan pampasan berjumlah RM3,000 sehektar semusim,” katanya.
Beliau berkata sebanyak RM86.4 juta diperuntukkan untuk membantu para petani dan pesawah yang terkesan akibat banjir.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM11.4 juta melalui Tabung Bencana Pertanian Padi (TBTP), RM50 juta melalui STTP dan RM25 juta Tabung Bencana Pertanian bagi kegunaan selain tanaman padi,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan sudah menyalurkan sejumlah RM425 juta pada tahun ini dan tahun depan untuk bantuan banjir selain pembaikan infrastruktur terjejas bencana itu seluruh negara.
“Kita masih melihat kalau ada apa-apa lagi kita boleh buat dan kita akan tolong kalau ada lagi ruang, kita akan buat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.