comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesawah lega, ‘nampak jalan’ tanam padi musim ini

Kerja-kerja pembersihan saluran parit di Sungai Tok Pulau, Simpang Empat, disini, yang mula dilakukan hari ini.

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Pesawah di Simpang Empat, kini mampu menghela nafas lega setelah saluran parit di Sungai Tok Pulau yang digunakan untuk membuang air dari bendang mula dibersihkan hari ini.

Antara yang melegakan pesawah apabila dapat mempersiapkan bendang untuk giliran penanaman musim baharu, yang sepatutnya bermula awal bulan ini.

Jika sebelum ini, kawasan bendang di Simpang Empat, Perlis dan Sanglang, Kedah yang diusahakan lebih 2,000 pesawah dibanjiri air akibat saluran parit yang tersumbat.

Mewakili pesawah, Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tok Pulau, Yasirul Hayat Amir Hamzah (baju merah) melahirkan rasa syukur kerana dapat memulakan kerja-kerja penanaman padi musim ini dalam masa terdekat.

Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tok Pulau, Yasirul Hayat Amir Hamzah berkata, kerja pembersihan sungai buang bermula dari Sungai Tok Pulau hingga Padang Keria di Sanglang, dijangka mengambil masa 4 hari.

“InsyaALLAH, jika tiada aral melintang dan bendang mulai kering, pesawah boleh mula menabur padi minggu depan.

“Kami warga pesawah rasa lega dan bersyukur apabila tengok jengkaut datang pagi tadi bersihkan kawasan kiri dan kanan sungai. Alhamdulillah, terima kasih Umno Arau kerana membantu proses penanaman padi musim ini,” katanya kepada Buletin TV3.

Kerja-kerja pembersihan saluran parit itu dibantu Umno bahagian Arau yang menyewa sebuah jengkaut bagi membersihkan kawasan sungai yang tersumbat.

Langkah awal itu bagi membolehkan air yang bertakung di dalam petak sawah dapat mengalir keluar seterusnya kerja-kerja penyediaan tapak untuk proses penanaman padi dapat dilakukan.

Semalam, Buletin TV3 melaporkan, lebih 2,000 pesawah di sempadan Kedah dan Perlis bimbang tidak dapat mengusahakan tanaman padi musim ini berikutan masalah pengairan.

Masalah itu didakwa berpunca akibat saluran parit sepanjang 6.5 kilometer dari Sungai Tok Pulau hingga Sungai Pida 15 di Jalan Sanglang, Kedah tidak diselenggara oleh pihak yang bertanggungjawab.

Loading...
Terkini