Oleh: Kumaran Rajamoney
TELUK INTAN: Lebih 6,000 pesawah sekitar di Sungai Manik, Seberang Perak dan kawasan sekitar terjejas selepas mereka tidak menerima baja seperti yang dijadualkan mengikut musim penanaman padi.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH), Abdul Rashid Yob menjelaskan, masalah itu berpunca daripada kelewatan proses pembaharuan kontrak pembekalan baja yang diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
“Kontrak ini lazminya diperbaharui setiap lima musim. Pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) sepatutnya maklum bahawa kontrak NAFAS tamat pada Jun lalu, dan usaha memperbaharuinya perlu disegerakan.”
“Namun keadaan sebaliknya berlaku sehingga mengakibatkan ramai petani di kawasan ini tidak dapat mengusahakan sawah mereka. Kami tidak seharusnya dibebankan dengan masalah yang melibatkan pentadbiran di peringkat kementerian,” katanya.
Ada petani yang katanya, sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membeli baja dengan kos RM500 sehektar bagi memastikan sawah mereka dapat diusahakan.
Wakil Petani Sungai Manik, Khairul Fikri Mohd Amin berkata kesan dari kelewatan itu juga katanya, berisiko menjejaskan pengeluaran padi bagi musim 2/2024 membabitkan 3,000 hektar kawasan sawah.
“Kawasan ini secara purata mengeluarkan padi seberat 15,000 tan, dan bagi musim ini kita jangkakan ianya akan mengalami kemerosotan sehingga 40 peratus kesan dari kelewatan pembajaan ini.”
“Anak padi perlu dibaja seawal 15 hari selepas ianya bercambah, atau ia mempunyai risiko tinggi untuk terbantut,” tambahnya.
NAFAS katanya mempunyai bekalan baja yang siap untuk diedar, namun tidak dapat berbuat demikian kerana belum menerima Surat Setuju Terima (SST) pembekalan.
Justeru, PESAWAH katanya mahu proses pembekalan baja dapat disegerakan bagi menepati jadual penanaman padi, selain mahu jaminan diberikan KPKM bahawa isu pembekalan baja yang melewati jadual tidak berlaku pada masa hadapan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.