comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesawah tanggung kerugian tinggi, hampir 6,000 hektar sawah tenggelam

ALOR SETAR: Hampir 6,000 hektar sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ditenggelami banjir sejak minggu lalu, mengakibatkan pesawah terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata sehingga kini 3,000 hektar sawah masih tenggelam dengan 2,000 hektar adalah di daerah Pendang disebabkan banjir termenung.

Katanya, kejadian sawah dilimpahi banjir pada kali ini adalah lebih tinggi berbanding kejadian banjir 2010.

“Pada 21 September adalah hari paling kemuncak apabila 5,915 hektar sawah di Kedah dan Perlis ditenggelami air, Pendang di Zon 3 mencatatkan jumlah yang paling luas iaitu 2,481 hektar diikuti Zon 4 (1,636 hektar); Zon 2 (1,603 hektar), dan Zon 1 (82 hektar),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Ismail berkata, kejadian banjir di Pendang agak luar biasa disebabkan limpahan Sungai Pendang akibat taburan hujan yang tinggi sekali gus sungai itu kini masih dalam paras bahaya.

“Pada 2010, Pendang dilanda banjir akibat aliran air banjir yang lebih tinggi dari sungai di Kuala Nerang dan Anak Bukit ke Sungai Pendang. Namun, saya percaya kali ini, hujan luar biasa di Pendang menyebabkan Sungai Pendang melimpah.

“Saya sudah tinjau di kawasan sawah yang terjejas di Pendang kelmarin, air sudah bercampur dengan selut dan dijangka ia akan surut sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi,” jelasnya.

Beliau berkata arus Sungai Pendang kini mengalir terlalu perlahan ke Sungai Kedah sebelum sampai ke laut menyebabkan Sungai Pendang masih berada pada paras bahaya manakala sungai lain sudah kembali normal.

Justeru untuk mengelak kejadian ini terus berulang, Dr Ismail menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendalamkan dasar Sungai Pendang dan memastikan semua aliran sungai kecil dan parit yang masuk ke Sungai Pendang tidak tersumbat.

Dr Ismail berkata hasil bancian akan dihantar ke Jabatan Pertanian sebelum dibawa kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk bayaran pampasan kepada pesawah.

“Kita akan usahakan secepat mungkin bagi meringankan beban yang ditanggung petani,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini