Tumpuan :
Nasional

Pesawat AS isi minyak pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM ketika di udara

FOTO: Ihsan Commander, Washington Air National Guard / Facebook

KUALA LUMPUR: Pesawat Sukhoi SU-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) buatan Russia melaksanakan latihan pengisian minyak di udara dengan pesawat milik Amerika Syarikat (AS), USAF KC-135.

Ia dijayakan menerusi latihan pertukaran kepakaran kemahiran (SMEE) membabitkan TUDM bersama United States Pacific Air Forces (US PACAF) dan Washington Air National Guard (WAANG) yang berlangsung pada 12 dan 13 November lalu.

Latihan pengisian bahan bakar udara ke udara (AAR) itu menyaksikan proses pemindahan bahan bakar dari pesawat tanker ke pesawat lain yang memerlukan ketika masih kekal dalam penerbangan.

TUDM menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan latihan itu salah satu aktiviti yang dirancang hasil Bilateral Airman-to-Airman Talks di antara Malaysia dan AS.

FOTO: Ihsan Commander, Washington Air National Guard / Facebook

“Latihan AAR adalah teknik pemindahan bahan bakar dari satu pesawat yang dikenali sebagai tanker ke pesawat lain, yang memerlukan bahan bakar semasa kedua-duanya berada di udara.

“Teknik ini membolehkan pesawat menerima bahan bakar untuk kekal terbang lebih lama dan membawa muatan yang lebih berat semasa berlepas.

“Latihan ini melibatkan pesawat KC-135 dari USAF serta pesawat SU-30MKM dan F/A-18D Hornet dari TUDM,” menurut kenyataan berkenaan.

Menurut TUDM, latihan AAR membawa pelbagai manfaat strategik, antaranya memanjangkan jarak operasi pesawat, meningkatkan kesiapsiagaan serta memperkuatkan keupayaan untuk menjalankan misi jarak jauh tanpa keperluan mendarat untuk mengisi bahan bakar.

Selain itu, memperkukuh koordinasi antara pesawat tanker dan pesawat penerima bahan bakar serta meningkatkan kerjasama antara tentera udara dari kedua-dua negara dalam menjalankan operasi gabungan.

FOTO: Ihsan Commander, Washington Air National Guard / Facebook

“Secara keseluruhan, ini bukan sahaja memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia dan AS, tetapi juga meningkatkan kemampuan TUDM dalam menjalankan operasi bersama rakan antarabangsa.

“TUDM akan terus komited dalam mempertingkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan angkatan udara Malaysia sejajar perkembangan pesat dalam teknologi pertahanan dan kerjasama antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini