comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesediaan Banjir: JKMNS Kenalpasti 206 PPS

Foto hiasan.

SEREMBAN : Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan (JKMNS) sudah mengenalpasti 206 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh memuatkan seramai 65,870 mangsa banjir dalam satu-satu masa.

Pengarahnya, Rosnah Sardi berkata, proses mengenalpasti, menyediakan serta melakukan pemantauan PPS dan pangkalan hadapan di setiap daerah atau kawasan khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir adalah sebahagian daripada kesiapsiagaan jabatan itu dalam menghadapi banjir.

“Sebagai anggota dalam Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara, JKM bertanggungjawab terhadap kerja penyaluran bantuan dan pemulihan mangsa bencana.

“Ini termasuk menyedia dan menyelenggarakan PPS, membuat persediaan dan mengedarkan bantuan makanan, pakaian dan keperluan lain, menjalankan pendaftaran mangsa untuk tujuan pemulihan semula mangsa bencana dan memberi bimbingan, nasihat serta kaunseling,” katanya.

Beliau berkata, secara umumnya, JKM sudah membuat persediaan sebagai langkah menghadapi bencana dengan mengenalpasti dan menyediakan sebanyak 206 PPS yang boleh memuatkan seramai 65,870 mangsa membabitkan sekolah, balai raya dan dewan orang ramai.

“Pengemaskinian dan pengambilan stok barangan keperluan bencana dari Depoh Simpanan JKM juga sudah dibuat pada 12 September lalu dan diagihkan ke daerah dan disimpan di stor bencana masing-masing.

“Kami turut menyediakan tenaga kerja yang akan menguruskan bencana dengan kekuatan 275 anggota bagi keseluruhan Negeri Sembilan.

“Senarai nama pegawai yang boleh dihubungi ketika berlaku sesuatu kejadian bencana juga disediakan.

“Malah, JKM sudah mengenal pasti dan menyediakan senarai pembekal barang catuan serta keperluan lain. Sebanyak 87 pembekal dikenal pasti boleh membekalkan keperluan makan minum dan barangan bencana jika berlaku,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengukuhkan lagi kesiapsiagaan JKM, pihaknya menubuhkan Task Force atau sukarelawan dan pertubuhan sukarela lain di Negeri Sembilan dan kini seramai 169 sukarelawan yang mendaftar serta aktif.

“Selain itu, JKM mengadakan kursus atau latihan simulasi bersama agensi, petugas dan sukarelawan berkenaan pengurusan bencana.

“Dengan kerjasama Pejabat Daerah Jelebu, kami mengadakan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) Tahun 2022 pada 7 dan 8 September lalu membabitkan 150 peserta.

“Pelaksanaan latihan ini bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan Pengurus PPS, Ahli Jawatankuasa, petugas dan sukarelawan dalam pengurusan PPS sebelum, ketika dan selepas berlaku bencana,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini