comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesuruhjaya Kanak-kanak tidak bertindih bidang kuasa KPWKM

PUTRAJAYA: Kewujudan Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak bertindih dengan bidang tugas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebaliknya pesuruhjaya berkenaan akan memberi manfaat kepada kepada kementeriannya serta agensi kerajaan yang terbabit dalam hal ehwal dan kebajikan kanak-kanak seperti Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Pelajaran.

“Kami akan menjalankan tugas seperti biasa. Jadi tidak ada pertindihan (bidang tugas) malah boleh membantu dari segi semak dan imbang untuk KPWKM,” katanya selepas merasmikan sesi dialog awam Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di KPWKM di Putrajaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Pesuruhjaya Kanak-Kanak dilantik menganggotai Suhakam berkuat kuasa serta-merta dalam usaha menangani masalah penderaan dan sosial melibatkan golongan itu.

Sementara itu, Datuk Seri Nancy berkata, seramai 18,000 pegawai sosial diperlukan bagi mengendalikan kes berkaitan perlindungan dan pemulihan kanak-kanak di seluruh negara.

Menurutnya, seramai 1,120 orang Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPPM) Gred S29 telah dilantik secara kontrak setakat ini bermula 2021.

“Kajian mendapati seorang pegawai sosial mengendalikan kes dengan nisbah 1:108 bagi kes perlindungan dan pemulihan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, taman asuhan kanak-kanak (Taska), pusat jagaan dan ia tidak mencukupi apabila pengkaji mencadangkan nisbah yang ideal adalah 1:15 hingga 20 kes,” katanya.

Setakat November tahun lalu, JKM telah mengendalikan sebanyak 5,572 kes yang melibatkan penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian, ujarnya.

Loading...
Terkini