comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia lawat Malaysia pada selasa

PUTRAJAYA: Volker Türk, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia akan mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia pada Selasa, atas jemputan Kerajaan Malaysia.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, Lawatan Kerja Türk adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Malaysia memupuk kerjasama dengan PBB bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai hak asasi manusia kepada  rakyat Malaysia.

Semasa di Malaysia, Türk dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta beberapa anggota Kabinet lain.

Beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) serta anggota-anggota masyarakat madani yang berkaitan.

Türk akan disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari Pejabat di Geneva dan Bangkok, dalam lawatan sulung ke Asia Tenggara sebagai Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia.

Selain Malaysia, beliau akan melawat Thailand dan Laos.

Ini merupakan lawatan kedua oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB ke Malaysia, dengan Michele Bachelet, bekas Pesuruhjaya Tinggi agensi itu telah melawat Malaysia pada 2019.

Malaysia merupakan anggota Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva yang aktif dan sentiasa memainkan peranan yang membina dalam majlis itu.

Malaysia telah dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia untuk tiga penggal iaitu 2006-2009, 2010-2013 dan 2022-2024.

Malaysia akan menamatkan keanggotaan dalam penggal semasa pada 31 Disember tahun ini.

Dalam hal yang berkaitan, Malaysia telah berjaya membentangkan Laporan Negara Keempat mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Majlis Hak Asasi Manusia pada Januari tahun ini.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia telah ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember 1993 untuk memudah cara Negara-Negara Anggota PBB mempromosi pembangunan mampan dan memperhebatkan kerjasama antarabangsa dalam usaha meningkatkan kesedaran dan melindungi hak asasi manusia. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini