comscore
Tumpuan :
Nasional

Peta Sabah terbesar guna penutup botol

Mohd Arifin meninjau projek SMK St Patrick yang menghasilan peta Sabah terbesar menggunakan penutup botol dan berjaya mencipta rekod daalm Malaysia Book of Records. – Foto KSTI Sabah

MEMBAKUT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick Membakut sekali lagi mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) apabila berjaya menghasilkan peta Sabah terbesar dengan hanya menggunakan penutup botol.

Peta Sabah berukuran 31 meter panjang dan 10.2 meter lebar itu menggunakan sebanyak 308,160 penutup botol.

Projek berkenaan dimulakan sejak April lalu dengan usahasama semua warga sekolah dan ibu bapa pelajar.

Pengetua SMK St Patrick, Richard David, berkata proses pengumpulan penutup botol minuman telah bermula seawal  2019.

Bagaimanapun, pada 2020 proses pengumpulan penutup dan pelaksanan projek terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

“Pada 2022, apabila keadaan kembali reda dan negara telah memasuki fasa endemik, kerja-kerja pengumpulan penutup botol diteruskan kembali.

“Setelah berjaya mengumpul sebanyak 308,160 biji penutup botol, proses kerja menebuk penutup botol dimulakan pada April lepas.

“Kemudian, diteruskan lagi dengan proses menyulam dan mengecat sehinggalah semua proses kerja penghasilan peta negeri Sabah yang terbesar selesai sepenuhnya pada tanggal 8 September,” katanya pada Majlis Pelancaran Peta Negeri Sabah Terbesar Dengan Menggunakan Penutup Botol, di sini.

Majlis pengisytiharan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan turut disahkan oleh pegawai MBR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi.

Ini kali keempat sekolah itu berjaya mencipta rekod dalam MBR.

Sebelum ini, SMK St Patrick berjaya mencatatkan tiga rekod dalam MBR dengan mencipta Jalur Gemilang terpanjang berukuran 196 meter panjang, 2.94 meter lebar menggunakan botol air mineral, manakala pada 2014 mencipta bendera Sabah terbesar berukuran 126 meter panjang dan 4.14 meter lebar menggunakan tin minuman.

Pada 2017, sekolah itu mencipta sejarah MBR dengan anyaman bendera Sabah terbesar menggunakan penutup tin minuman aluminium terbanyak berukuran 5.3 meter lebar dan 12.3 meter panjang.

Loading...
Terkini