comscore
Tumpuan :
Nasional

Petugas TH sudah bersedia sambut 31,600 jemaah haji Malaysia di bumi Arafah

Mohd Naim (tengah) bergambar bersama Petugas Perubatan Tabung Haji di Pusat Rawatan Kecemasan di Ibu Pejabat Tabung Haji, di Makkah.

MAKKAH: Persediaan operasi Masyair sudah siap sepenuhnya bagi menyambut seramai 31,600 jemaah haji Malaysia ke bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina bermula Jumaat ini bersamaan 8 Zulhijjah 1445H.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, perkhidmatan sokongan seperti perubatan juga pada tahap yang terbaik dan sudah memulakan operasinya kepada jemaah sejak tiba di bumi barakah ini.

“Insya-Allah, dengan berbaki sehari lagi, semua jemaah dan petugas haji akan memulakan pergerakan ke Arafah. Ini adalah pergerakan terbesar di dunia, dengan hampir dua juta orang menuju ke destinasi yang sama,” katanya kepada Petugas Media Tabung Haji, di sini kelmarin.

Beliau juga amat berpuas hati dengan operasi haji pada tahun ini dan mendapat maklum balas yang baik daripada jemaah Malaysia.

“Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk turut menyantuni duyufurrahman pada musm haji tahun 1445H/2024. Saya mendapati bahawa semua kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Tabung Haji adalah sangat sistematik dan bertaraf antarabangsa.

“Selain itu banyak daripada infrastruktur dan kemudahan yang sudah dinaiktaraf untuk jemaah haji Malaysia terutamanya di Arafah dan Mina bagi memastikan pergerakan, penempatan dan urusan makan minum dapat disediakan dengan lebih baik selain memastikan jemaah selesa semasa melakukan ibadat haji terutama sewaktu wukuf,” katanya lagi.

Semua ini, katanya, jelas menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia dan Tabung Haji yang sentiasa mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan jemaah haji kita.

Beliau berkata, jemaah Haji Malaysia memang diiktiraf sebagai jemaah haji yang berdisiplin dan mempunyai sikap yang baik selain berilmu.

Oleh itu, Mohd Naim mengingatkan jemaah Malaysia mengekalkan sikap terpuji tersebut dan sentiasa jaga nama baik negara.

Begitu juga dengan keadaan cuaca yang perlu diambil peringatan kita sudah menjangkakan cuaca sepanjang musim haji adalah panas antara 30 hingga 45 darjah celsius.

“Oleh itu jemaah haji dinasihatkan agar tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca yang panas. Minum air dengan banyak supaya tidak berlaku strok haba (heat stroke),” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini