Tumpuan :
Nasional

PGA pasang papan tanda larang keluar masuk Malaysia di 4 pangkalan haram

FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam memasang papan tanda di empat pangkalan haram di sini dan Tumpat bagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menyeberang ke Thailand secara haram.

Tiga daripada papan tanda itu diletakkan di pangkalan haram MCA, Syed Agil dan Jitong, manakala satu lagi di Kuala Tanjung di Tumpat.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata papan tanda itu diletakkan di pangkalan haram yang sering digunakan rakyat Kelantan dan rakyat Malaysia lain untuk ke sempadan selatan.

Beliau berkata, tindakan itu juga selaras dengan arahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bahawa mereka yang didapati menyeberang ke Thailand secara haram akan ditahan dan dikenakan denda sehingga RM10,000.

“Papan tanda itu menyatakan sesiapa yang ditangkap melintas ke Thailand melalui laluan haram boleh ditangkap dan dikenakan denda sehingga RM10,000 kerana melanggar Akta Imigresen.

“Tindakan sama juga boleh diambil terhadap warga asing yang memasuki Malaysia melalui pangkalan haram yang terletak di sepanjang Sungai Golok,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, anggota PGA juga diminta meningkatkan pemeriksaan mereka di pangkalan haram untuk menangkap mereka yang melanggar peraturan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand, berkuat kuasa 1 Disember ini.

Mereka akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini