KOTA BHARU: 5,000 kilogram (kg) karkas babi bernilai hampir RM205,000 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di sini, semalam.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan menerusi Op Taring Chiller itu dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat dan Batalion 9 PGA, jam 3.15 pagi itu, selepas mendapati sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
Jelasnya, ketika kejadian, pihaknya melakukan rondaan sebelum mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori Mitsubishi itu mendapati terdapat lebih 5,000 kg karkas babi yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah.
“Kita turut menahan seorang suspek lelaki berusia 62 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup binatang terbabit ke pasaran tempatan.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM204,800.00 dan kes disiasat dibawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. Suspek dan barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Pengkalan Chepa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.