Tumpuan :
Nasional

PGA rampas rokok elektronik, perisa vape bernilai RM221,500

FOTO: PGA

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok elektronik apabila merampas lebih 900 unit rokok elektronik dan 390 botol perisa vape di Pengkalan Haram Pak Su Rani di sini, semalam.

Menerusi Op Taring Wawasan, Batalion 8 PGA merampas rokok elektronik dan perisa vape bernilai RM221,500.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, ketika operasi, pasukan bertugas ternampak sebuah kereta jenis Proton Perdana di pengkalan haram berkenaan.

Pemeriksaan menemukan lebih 900 unit rokok elektronik dan 390 botol perisa vape di dalam kereta bernilai RM221,500 dipercayai diseludup dari Thailand.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kes lain, Batalion 7 PGA merampas 10 ekor kambing anggaran berat lebih 400 kilogram (kg) di Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong di sini, semalam.

Katanya, operasi 10.30 pagi itu merampas kambing bernilai RM10,000 dipercayai diseludup dari Thailand dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Pasukan operasi menahan sebuah pikap dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan menemukan 10 ekor kambing dalam kenderaan itu tanpa dokumen yang sah.

“Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kambing itu ke pasaran tempatan. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini