comscore
Tumpuan :
Nasional

PH buat laporan terhadap Presiden PAS berhubung larangan ceramah di masjid dan surau

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah/Zamri Ghani

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu membuat laporan polis berhubung isu pelanggaran larangan ceramah di masjid dan surau seluruh Terengganu oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad kira-kira jam 1 tengah hari di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu.

Dalam laporan itu, beliau menggesa siasatan segera berhubung kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyanggah titah Sultan Terengganu melarang ahli politik menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid serta surau di negeri ini.

Katanya lagi, Ahli Parlimen Marang itu sepatutnya akur dengan arahan Majlis Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang dikeluarkan pada 2 Mac lalu.

“Sejurus selepas MAIDAM mengeluarkan kenyataan tersebut Datuk Seri Hadi Awang telah membuat kenyataan bahawa beliau akan terus mengadakan ceramah , kuliah dan sebagainya seperti biasa di masjid surau dan sebagainya, ini jelas bertentangan dengan arahan dan titah DYMM Tuanku Sultan Terengganu yg telah diutarakan melalui MAIDAM dan ini amatlah mendukacitakan kerana Datuk Seri Hadi Awang bukanlah orang biasa bukanlah orang yang agak tidak berpengalaman tapi beliau adalah seorang bekas Menteri Besar Negeri Terengganu yang pernah bertugas bersama dibawah DYMM Sultan Terengganu”.

Pada 4 Mac lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, beliau akan tetap meneruskan ceramah di masjid dan surau seperti biasa walaupun wakil rakyat di Terengganu dilarang berbuat demikian.

Menurut beliau, tindakan itu bukan satu kesalahan untuk ahli politik memberi kuliah atau ceramah di masjid kerana dalam Islam sendiri, politik dan agama tidak boleh dipisahkan.

Sebelum ini, MAIDAM mengumumkan semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negara menggunakan masjid dan surau seluruh Terengganu sebagai pentas kuliah dan ceramah

Yang Dipertuanya, Datuk Syeikh Harun Syeikh Syeikh Ismail berkata, larangan bertujuan agar masjid dan surau tidak disalahguna.

Selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.

Selain ceramah di masjid dan surau , larangan turut meliputi pengajian agama di masjid dan surau serta bertindak menjadi khatib dan imam solat Jumaat.

Peraturan itu dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menzahirkan rasa dukacita segelintir ahli politik yang mengadakan ceramah, pengajian agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran pihaknya.

Loading...
Terkini