comscore
Tumpuan :
Nasional

PICC jadi tumpuan amanat PM mengenai Membangun Malaysia MADANI

| Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menjadi tumpuan hari ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat mengenai inisiatif Membangun Malaysia MADANI yang menjadi konsep dan tunjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Ismail Yusop berkata, enam teras MADANI adalah keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta dan inovasi, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

“Adalah menjadi harapan kami, kehadiran semua adalah tanda sebagai suatu komitmen dan memberikan isyarat yang jelas tentang tekad dan iltizam kita untuk sama-sama memahami dan menghayati maksud Malaysia MADANI yang diangkat oleh Perdana Menteri sebagai tema Membangunkan Malaysia yang lebih sejahtera dan adil untuk semua,” katanya ketika berucap pada Program Wacana Membangun Negara MADANI di sini pagi ini.

Beliau turut berharap program anjuran IDE dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu memberi sarwa pandang (pandangan dunia) yang lebih jelas tentang Membangun Malaysia MADANI yang akan menjadi panduan ke arah tatakelola lebih baik dan mengembalikan keunggulan negara.

Pada majlis sama, Perdana Menteri juga akan menyempurnakan pelancaran buku Membangun Negara MADANI: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi.

“IDE amat berbesar hati dan bersyukur atas penghormatan yang diberikan kepada kami sebagai penerbit buku ini dalam usaha dan tujuan merakyatkan naratif MADANI untuk segenap lapisan masyarakat Malaysia,” kata Ismail.

Loading...
Terkini