Oleh : Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA MUDA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar memantau aktiviti Perikatan Nasional (PN) yang disyaki akan memberikan ‘sedekah politik’ demi meraih undi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Datuk Seri Ahmad Zahid menyatakan tindakan ini adalah taktik sama yang digunakan oleh pembangkang ketika Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU) lalu dan menegaskan ianya adalah tindakan yang salah berdasarkan akta Suruhanjaya Pilihanraya.
“Kita mendapat tahu bahawa pihak pembangkang akan memberikan sedekah politik”
“Kegiatan memberi sedekah politik ini adalah salah dan dilarang mengikut Akta SPR”
“Diharapkan pihak berkuasa dapat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka jika didapati berlakunya tindakan sedemikian”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Desa Cerdas-KEMAS di Dataran Tsunami, Kota Kuala Muda, Kedah.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengulas tindakan PAS yang mengumumkan kepimpinan baharu bagi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang menggabungkan tokoh agama dan teknokrat jika parti itu memenangi PRN esok.
Beliau menyatakan bahawa tindakan itu adalah hal dalaman parti tersebut namun beranggapan tindakan itu seolah membuka peluang kepada gabungan PH-BN untuk menang di Kelantan.
“Kalau diberikan pengekalan jawatan Menteri Besar kepada Nik Amar, Kelantan akan lebih hancur lagi”
“Oleh sebab itu, adalah lebih baik jika pertukaran itu diberikan kepada Barisan Nasional”
“Baguslah jika Nik Amar menjadi ‘poster boy’, mudahan-mudahan mereka akan ke laut” ujar”, katanya.