comscore
Tumpuan :
Nasional

Pihak Berkuasa Indonesia Setuju Cadangan Pembinaan Jambatan dan Terowong Dasar Laut

Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

MASJID TANAH : Pihak berkuasa dalam bidang pelaburan Indonesia sudah menyatakan persetujuan pada dasarnya mengenai cadangan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut menghubungkan Melaka-Dumai, Indonesia.

Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia dicapai ketika dalam kunjungannya ke negara itu baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan Indonesia pada dasarnya menyambut baik cadangan berkenaan kerana ia bakal meningkatkan kemajuan ekonomi dan sosial kedua-dua pihak.

“Indonesia terima cadangan itu…Insya-Allah kita akan buat dan apabila siap kelak, jarak perjalanan dari Melaka dan Malaysia ke Dumai, Indonesia hanya akan mengambil masa 40 minit”

“Jambatan dan terowong dasar laut sepanjang 47 kilometer (km) itu dijangka disiapkan dalam tempoh antara empat hingga lima tahun,” katanya berucap merasmikan Persidangan Umno Bahagian Masjid Tanah di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ayer Pa’abas, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sehubungan itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Melaka meminta pemilik tanah sekitar Telok Gong, Kuala Sungai Baru dekat sini yang dicadangkan sebagai tapak pembinaan jambatan supaya tidak menjual tanah masing-masing.

“Orang Telok Gong dan kawasan lain yang akan maju dengan projek itu seperti Brisu, Sungai Jerneh dan Simpang Ampat Alor Gajah, jangan jual tanah sekarang,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis berkenaan, Ab Rauf berkata, Umno Bahagian Masjid Tanah meluluskan usul meminta Kerajaan Persekutuan memperinci cadangan berkenaan untuk dibincangkan dalam Pelan Dasar Fizikal Negara.

Katanya, Kerajaan Melaka sedia memberikan perincian cadangan itu kerana ia bukan setakat memajukan aspek perhubungan Melaka-Dumai, malah yang lebih utama ialah peningkatan pelaburan dan perniagaan antara pelabur Malaysia dengan Indonesia dan sebaliknya.

Beliau yang enggan menjelaskan kos cadangan projek itu menegaskan, ia membabitkan pelaburan pihak swasta yang mempunyai kepakaran dalam industri pembinaan jambatan dan terowong dasar laut.

Sebelum ini Ab Rauf dilaporkan berkata, cadangan berkenaan adalah sebahagian daripada rangkaian jalan darat dari Shanghai, China ke Indonesia melalui konsep ‘One Belt One Road’ yang dimajukan pihak dari China. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini