
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menunjukkan minat mendalam untuk terus mempertingkat pelaburannya di Malaysia.
Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi itu antara entiti yang memiliki dana kekayaan terbesar di dunia dengan aset dianggarkan melebihi US$1 trilion.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ADIA dikenali sebagai pelabur global berimpak tinggi dan mempunyai peranan penting dalam sektor infrastruktur, kesihatan dan tenaga.
Katanya, antara pelaburan utama ADIA di peringkat antarabangsa termasuk lapangan terbang di United Kingdom dan Perancis, Pelabuhan Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta projek infrastruktur logistik di India dan tenaga di Amerika Syarikat.
“Di Malaysia, komitmen ADIA terserlah melalui pelaburan yang selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi MADANI.
“Antara sumbangan penting mereka termasuk kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam usaha penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), selain pelaburan dalam projek infrastruktur utama yang menyokong pertumbuhan mampan negara,” katanya dalam hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang bertemu dengan kepimpinan tertinggi ADIA iaitu Pengarah Urusan ADIA, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan serta barisan kepimpinan lain seperti Khalil Foulathi dan Mohamed Al Ameri.
Pertemuan itu secara tidak langsung membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama pelaburan strategik antara Malaysia dan UAE.
Tengku Zafrul berkata, menerusi perbincangan bersama ADIA, ia menyatakan komitmen untuk terus mempertingkat dan memberi tumpuan utama dalam mencipta nilai yang lebih besar bagi memastikan kejayaan pelaburan-pelaburan di Malaysia di pelbagai sektor termasuk dalam transformasi MAHB.
“Ini jelas menunjukkan keyakinan kukuh terhadap dasar-dasar kerajaan yangmesra pelabur yang akan memanfaatkan rakyat dalam jangka masa panjang.
“Melalui hubungan strategik ini, kami terus memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama untuk pelaburan berkualiti tinggi, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi, mencipta peluang pekerjaan baharu dan merancakkan pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Selain ADIA, Perdana Menteri dan Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan dua lagi dana kekayaan berdaulat UAE iaitu Masdar dan Mubadala.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.