Oleh: Ain Shafiqah Zaki
PETALING JAYA: Pihak berkuasa perlu menitik beratkan isu keselamatan jalan raya, terutama melibatkan kenderaan berat susulan statistik kemalangan maut yang dilaporkan semakin meningkat terutamanya di musim cuti persekolahan atau cuti umum.
Perkara itu disuarakan Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud.
Menurutnya, kenderaan berat lebih berisiko kerana ia membawa mudarat yang lebih besar jika berlaku sesuatu perlanggaran.
Beliau juga berpendapat soal keselamatan kenderaan berat perlu dipandang serius oleh pemilik syarikat pengangkutan itu sendiri.
“Kita dapat lihat kadang-kadang lori itu berada dalam keadaan yang tidak selamat seperti contoh tayar yang botak dan keadaan brek pun kita tak dapat pastikan selamat atau tidak.
“Jadi sebagai pemilik syarikat pengangkutan yang bertanggungjawab, saya mohon utamakan keselamatan pastikan kenderaan-kenderaan yang disediakan untuk perniagaan di dalam keadaan baik dan selamat,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Beliau turut menyeru agar pemandu muatan berat agar lebih peka dan menjaga had kelajuan kerana lagi berat sesuatu kenderaan itu, lebih banyak masa perlu diambil untuk memberhentikan kenderaan terbabit.
Selain itu, beliau akui sikap individu itu sendiri turut memainkan peranan penting.
“Mengikut kajian, 80 peratus kemalangan berpunca dari kesilapan manusia itu sendiri, jadi saya sarankan kita semua lebih berhati hati semasa memandu. Patuhi peraturan ataupun undang-undang jalan raya yang ada,” ujarnya.