Tumpuan :
Nasional

Pindaan Akta DBP 1959 akan dibentangkan di parlimen dalam masa terdekat

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 akan dibentang di parlimen dalam masa terdekat.

Menteri pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tanggungjawab sememangnya diberikan kepada DBP agar ia disegerakan.

“Kita sedang bekerja keras ke arah itu, dan memang itu tanggungjawab yang diberikan kepada DBP untuk memastikan pindaan undang undang itu dapat kita segerakan dan dapat dibentangkan di parlimen dengan segera mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malam Puisi Riong anjuran Berita Harian (BH) dan DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, ibu negara semalam.

Penganjuran itu katanya selaras dengan peruntukan RM50 juta kepada DBP dalam memperkasakan bahasa, seni, dan budaya terhadap generasi muda.

Menurutnya lagi, kerajaan komited memastikan generasi muda terus mendukung aspirasi berkenaan.

Terdahulu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akta itu perlu dipinda sebagai usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Jelasnya pindaan itu penting bagi membolehkan DBP menguatkuasakan undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran mengenai Bahasa Melayu.

Misalnya, ia membolehkan DBP mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada pemaju perumahan yang sengaja menggunakan nama asing bagi menamakan sesuatu projek.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini