comscore
Tumpuan :
Nasional

Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan dibentang di Parlimen November ini

Foto fail NSTP

JOHOR BAHRU: Hukuman lebih berat menanti pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sungai selepas pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang telah diluluskan Kabinet dibentangkan di Parlimen pada November ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hukuman dan kadar denda hingga RM10 juta akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang dikesan menyebabkan pencemaran sungai.

“Kita melihat dari sudut perundangan iaitu pindaan undang-undang yang telah diluluskan oleh Kabinet yang akan dibawa ke Parlimen hujung tahun, sesi dalam bulan November.

“Kita akan tutup kelopongan dari segi perundangan supaya lebih jelas untuk ambil tindakan nanti untuk sabit kesalahan menyebabkan pencemaran itu. Hukuman juga ditingkatkan kalau dulu mungkin RM1 juta, maksimum boleh dinaikan kepada RM10 juta malah boleh dipenjarakan, itu pindaan kita akan buat,” katanya.

Foto fail

Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia, Peringkat Kebangsaan, di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu, dekat sini, pagi tadi.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, selain pindaan akta, perkara utama yang perlu diberi keutamaan dalam penjagaan sungai ialah aspek pencegahan bagi mengelakkan pencemaran sungai di negara ini.

“Saya melihat aspek pencegahan lebih penting, memberi kesedaran tentang kepentingan sungai melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat untuk memelihara sungai kita. Justeru, Persekutuan dan kerajaan negeri kena sama-sama ambil tindakan tegas” ujarnya.

Beliau berkata, jika boleh kilang di pinggir sungai dipindahkan dan jika tidak boleh maka kena pastikan teknologi digunakan bagi mengawal sisa kilang sebelum dilepas ke sungai.

Pada awal bulan ini, beberapa siri pencemaran bau yang dipercayai berpunca dari pembuangan sisa kimia ke dalam sungai berlaku di sekitar  Johor Bahru.

Ia termasuk sungai kampung Pandan, Sungai Tebrau dan Subgai Skudai yang menyebabkan tiga buah sekolah diarah tutup.

Pada Mac 2019, Johor mencatat sejarah hitam apabila sungai Kim-Kim di Pasir Gudang dicemari sisa toksik menyebabkan 13 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarahkan tutup dan ratusan penduduk menerima rawatan selepas terkesan daripada pencemaran udara akibat pembuangan sisa toksik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini