comscore
Tumpuan :
Nasional

Pindaan Akta Perubatan 1971 akan perkemas proses pengiktirafan pakar – KKM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel (parallel pathway) dan memperkemas proses pengiktirafan serta pendaftaran sebagai pakar perubatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Rang Undang-undang (RUU) untuk pindaan itu dijangka dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 selepas diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Katanya, sebuah Memorandum Jemaah Menteri yang dikemukakan oleh beliau dan Menteri Pendidikan Tinggi mengenai cadangan pindaan Akta 50 sudah dipersetujui secara prinsip dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

“Jemaah Menteri juga cakna akan keperluan perkhidmatan kepakaran di semua fasiliti kesihatan yang semakin meningkat di seluruh negara.

“Laluan paralel yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan program sarjana perubatan yang dilaksanakan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan berfungsi untuk melahirkan lebih ramai pakar bagi memenuhi keperluan itu.

“Justeru melalui pindaan yang akan dibuat, kedua-dua laluan latihan kepakaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dari aspek perundangan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sebelum itu, KKM kekal dengan pendirian untuk meminda Akta 50 mengenai Program Parallel Pathway (PPP), meskipun terdapat tentangan segelintir pihak.

Dr Dzulkefly berkata, dalam masa yang sama doktor yang sudah menyempurnakan mana-mana program seperti di atas akan dapat didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Ini sekali gus membolehkan segala isu berbangkit diselesaikan segera dan KKM akan memastikan bahawa kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan serta aspek keselamatan pesakit tetap terjamin apabila pindaan ini dibuat nanti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini