KOTA BHARU: Rang Undang-Undang bagi meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun depan.
Ia susulan Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang dipengerusikan beliau sudah ditubuhkan dan bersidang kali pertama pertengahan tahun lalu.
Beliau berkata, jawatankuasa khas yang membabitkan 12 ahli termasuk pengerusi bagi membuat kajian berkenaan kesan pembatalan 16 peruntukan terhadap peruntukan sedia ada.
“Selain itu, kajian juga dibuat terhadap 16 peruntukan yang terbatal dan peruntukan berkaitan di samping mencadangkan draf penggubalan.
“Jawatankuasa teknikal juga ditubuhkan terdiri daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Kehakiman dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri termasuk beberapa pengamal undang-undang serta ahli akademik bagi melaksanakan kajian seterusnya menyediakan draf penggubalan 16 peruntukan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) yang bertanyakan status enakmen itu pada persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.