comscore
Tumpuan :
Nasional

Pindaan perlembagaan BERSATU: Silap besar jika tuduh ada campur tangan politik – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media di Putrajaya.- Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyelar tuduhan pembangkang kononnya akan berlaku campur tangan politik dalam urusan kelulusan pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menafikan dakwaan tersebut, tegasnya, setakat ini beliau belum menerima pemakluman daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung permohonan parti itu.

“Saya belum dapat apa-apa lagi setakat ini, mungkin mereka (BERSATU) ada hantar cuma saya belum dapat pemakluman lagi (dari RoS).

“Campur tangan politik? Itu masalahnya, sebab mereka pernah buat campur tangan politik, jadi mereka fikir saya akan buat macam apa yang mereka buat.

“Dia pernah buat campur tangan politik ke atas Akta Pertubuhan 1966, jadi mereka fikir Menteri Dalam Negeri ini akan buat seperti yang mereka buat, silap besarlah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Minggu lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa RoS segera meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan ia dikuatkuasakan serta merta.

Beliau turut berharap supaya tiada sebarang campur tangan politik yang boleh mempengaruhi proses berkenaan menjadi perlahan.

Terdahulu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris dilapor berkata, parti itu akan menyerahkan dalam tempoh terdekat keputusan pindaan perlembagaan parti kepada RoS untuk diluluskan.

Beliau menyuarakan keyakinan RoS tidak akan “menyusahkan” parti itu.

Mesyuarat Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan perlembagaan parti tersebut yang menyatakan keahlian mana-mana wakil rakyatnya akan terlucut serta merta jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, susulan pindaan itu, kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) wakil rakyat terbabit perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ia termasuk kerusi enam Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum ini, iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini