comscore
Tumpuan :
Nasional

Pinjam along Singapura, rumah keluarga di Sitiawan dilempar molotov koktail

Foto tular

MANJUNG: Polis memburu dalang yang melempar molotov koktail sehingga mengakibatkan kebakaran dua kenderaan di sebuah rumah di Taman Singa Baru 2, Kampung Koh, Sitiawan, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, dalam kejadian jam 3.40 pagi, sebuah motosikal dan kereta milik seorang jurujual wanita berusia 56 tahun hangus dijilat api.

Menurutnya, satu botol kaca dipercayai molotov koktail ditemui di lokasi kejadian berserta sehelai kertas yang tertera nama anak kepada wanita itu di luar pagar rumah terbabit.

“Siasatan awal mendapati, punca kejadian berkemungkinan berkait dengan anak ketiga mangsa yang tinggal dan bekerja di Singapura belum melangsaikan hutang dengan along dari negara itu, walaupun wanita terbabit sudah membantu memberikan sejumlah wang.

“Berdasarkan keterangan pengadu, polis mengesyaki kejadian didalangi dua suspek dan usaha mengesan mereka masih diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” katanya dihubungi Berita Harian hari ini.

Mohamed Nordin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Munawara di talian 011-16240391 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, video berdurasi 16 saat serta beberapa gambar memaparkan keadaan pekarangan rumah mangsa terbabit kebakaran tular di media sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini