Tumpuan :
Nasional

Pintu rundingan bincang peruntukan MP pembangkang masih dibuka – Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR: Pintu rundingan masih dibuka kepada blok pembangkang bagi mencapai kata sepakat dengan kerajaan dalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan sentiasa terbuka dan membuka ruang supaya perkara terbabit dirunding sehingga mencapai kesepakatan semua pihak.

“Jalinan kerjasama yang harmoni amat penting memandangkan semua ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab besar dan berperanan penting dalam semak dan imbang perkara berkaitan dasar kerajaan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH- Pulai) mengenai punca penolakan pembangkang terhadap MoU peruntukan Parlimen dan perbezaan perjanjian sekarang dengan era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Perdana Menteri.

Fadillah berkata, penyediaan draf MoU mendapat maklum balas dan persetujuan semua wakil whip parti gabungan yang membentuk kerajaan MADANI sebelum dikemukakan kepada Ketua Whip pembangkang secara rasmi, 1 Ogos lalu.

“Tanpa sebarang maklum balas terus kepada kerajaan, pihak pembangkang membuat kenyataan media pada 14 September untuk menolak draf MoU yang dikemukakan atas alasan boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, mereka mendakwa ia bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama serta nilai tempatan; tidak mempunyai mekanisme jelas yang boleh membuka ruang kepada berlakunya pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara sebelah pihak dan mengongkong kebebasan bersuara ahli parlimen,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu berbeza ketika zaman pentadbiran Ismail Sabri apabila MoU itu berjaya dimeterai kerajaan bersama pimpinan kanan Pakatan Harapan (PH) diterajui Anwar yang ketika itu adalah ketua pembangkang.

“Ini berbeza ketimbang semasa pentadbiran Ismail Sabri ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

“Ketika itu, beberapa siri rundingan telah dilaksanakan pihak kerajaan bersama pihak pembangkang.

“Draf MoU yang disediakan kerajaan pada ketika itu dipinda berkali-kali berdasarkan perbincangan kedua-dua pihak sebelum mencapai kata sepakat dan dimuktamadkan,” katanya.

Sebelum ini, pembangkang sebulat suara menolak MoU itu atas sebab hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menulis surat kepada Fadillah bagi membincangkan semula isu itu.

Awal September lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendedahkan tujuh syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan.

Syarat itu termasuk pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 serta perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R).

Takiyuddin mendakwa, ada antaranya pelik dan tiada kena-mengena dengan peruntukan yang dituntut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini