comscore
Tumpuan :
Nasional

Pintu sempadan Rantau Panjang sesak, warga Thailand pulang sambut Aidiladha

 

Foto: NSTP

RANTAU PANJANG: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang sesak awal pagi tadi, dipenuhi ribuan warga Thailand yang mahu pulang ke kampung sempena sambutan Aidiladha Isnin ini.

Tinjauan Berita Harian pada jam 6 pagi mendapati berlaku kesesakan lalu lintas sejauh empat kilometer (km) dari perkarangan utama ICQS malah ada yang mengambil inisiatif berjalan kaki untuk ke pintu sempadan.

Warga Thailand, Hamdan Dollah, 21, berkata, dia sampai ke stesen bas Rantau Panjang dari Shah Alam, Selangor, sekitar jam 5.30 pagi tadi, sebelum terus ke pagar ICQS yang masih belum dibuka, namun sudah terdapat ramai orang yang sedang menunggu di situ.

“Pagar ICQS dibuka pada jam 7 pagi dan kami sedia menunggu lebih awal untuk melalui prosedur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum masuk ke Thailand. Bagaimana pun, Alhamdulillah, ramai anggota bertugas membantu melancarkan urusan kami.

“Majoriti orang yang saya jumpa adalah warga Thailand yang mahu pulang beraya, tetapi ada juga sekumpulan kecil yang saya jumpa mahu ke sana untuk bercuti,” katanya ketika ditemui di hadapan ICQS Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Zaharah Hasim, 46, berkata dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki sejauh dua kilometer (km) selepas pengangkutan awam yang dinaikinya ‘tersadai’ tidak bergerak akibat kesesakan lalu lintas.

“Saya, suami dan tiga anak kemudian memilih untuk berjalan kaki sahaja kerana jika terus menunggu, pasti kami akan terlambat. Tambahan pula, ramai saja yang turut berjalan ke ICQS terutama yang menaiki bas atau kereta sewa.

“Walaupun, suasana sesak dengan ramai orang, namun saya tetap bersemangat untuk pulang ke pangkuan keluarga di Kampung Tanjung Mas, Narathiwat, selain tidak sabar untuk menyambut Aidiladha bersama-sama.

“Sebelum ini, saya akan menggunakan khidmat motosikal tambang sahaja untuk mengelak jalan yang sesak tetapi kali ini kami sekeluarga membawa beg tarik yang agak besar, jadi terpaksa berjalan kaki,” katanya yang bekerja di restoran di Johor Bahru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini