comscore
Tumpuan :
Nasional

PJR Ramadan babit 450 lokasi seluruh negara

Foto hiasan

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan dan memperluaskan Program Jualan Rahmah (PJR) Ramadan melibatkan 450 lokasi secara berjadual di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkataPJR Ramadan terbabit masih mengekalkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga di antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.

Katanya, selain penjualan barang keperluan kering seperti kebiasaan, PJR Ramadan akan melibatkan penawaran jualan barangan keperluan harian lain seperti ayam, daging lembu, ikan dan pelbagai hasil laut, beras dan telur ayam.

Menurutnya, bekalan produk yang terlibat pada jualan murah ini juga melibatkan kerjasama daripada agensi lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Jadi kita harapkan dengan adanya PJR Ramadan ini, kita dapat membantu rakyat khususnya golongan sasar mendapatkan bekalan barang kering, barang basah, barang persiapan untuk membuat kuih raya dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelancaran program terbabit akan dilaksanakan di Putrajaya serta-merta pada hari pertama bulan Ramadan.

“Jadi kita mengharapkan kepada semua masyarakat untuk menyemak jadual 450 siri PJR ini melalui pautan laman sesawang rasmi KPDN untuk mengetahui lokaai PJR yang akan dianjurkan di kawasan sekitar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sesi Walkabout Program Jualan Rahmah Madani bertempat di Padang Kawad Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkanTimbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh akan merasmikan dan mengumumkan program bazar Ramadan yang turut bakal diadakan kelak secara lebih terperinci.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini