comscore
Tumpuan :
Nasional

PKR dominasi 9 menteri, BN 6, GPS 5, DAP 4

Antara pemimpin PKR yang menerajui Kabinet Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR : PKR mendominasi barisan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini yang diwakili sembilan pemimpinnya.

Jumlah itu termasuk Anwar yang akan memegang satu portfolio iaitu Kementerian Kewangan.

Lapan portfolio lain disandang, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri), Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi) serta Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil sebagai Menteri Komunikasi Digital.

Turut dinamakan, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), Ahli Parlimen Sekijang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa yang akan merajui Kementerian Kesihatan serta Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogon Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Sementara Barisan Nasional (BN) pula, yang juga gabungan kedua terbesar dalam Kerajaan Perpaduan memegang enam portfolio kementerian dengan seorang dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, disandang Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid pula akan merajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, sementara Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menerajui portfolio Kementerian Pertahanan.

Pemimpin BN lain, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi, sementara Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berperanan di Kementerian Luar serta Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan reformasi institusi).

Turut dinamakan mewakili BN, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan memegang portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sementara Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula diberi peranan dalam lima portfolio iaitu Kementerian Perladangan dan Komoditi; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pelancongan serta Kementerian Perpaduan Negara.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri II, juga memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.

Empat yang lain, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alaxender Nanta Linggi; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan); Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) serta bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago anak Dagang

DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) pula masing-masing memegang empat dan dua portfolio kementerian iaitu Kementerian Pengangkutan yang akan disandang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sementera Presiden AMANAH, Mohamad Sabu memegang portfolio Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Pemimpin lain DAP dan AMANAH, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup); Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar (Menteri Sumber Manusia) serta Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Hannah Yeoh memegang portfolio Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali satu-satunya wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan, selain Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator.

Loading...
Terkini