Tumpuan :
Nasional

PLKN 3.0 tidak boleh dibandingkan dengan kerahan tenaga negara luar

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan dengan konsep dan format baharu sebagai wadah pembentukan generasi yang menitikberatkan semangat patriotisme, mengamalkan nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan program itu mulai tahun depan untuk warganegara berusia 17 tahun dan ke atas, yang mana konsep digunakan sudah mengambil kira penilaian terhadap pelaksanaan PLKN terdahulu.

Menurutnya, dalam masa sama, PLKN 3.0 juga berperanan dalam memupuk minat anak muda menceburi bidang ketenteraan serta menyumbang kepada negara.

“Atas dasar itu, PLKN 3.0 tidak boleh hanya dilihat sebagai latihan asas ketenteraan semata-mata tetapi satu program yang turut merangkumi Modul Kenegaraan (Elemen Jati Diri, Elemen Cinta Negara dan Elemen Perpaduan) bagi memenuhi objektif yang digariskan.

“Perbandingan antara PLKN 3.0 dan program kerahan tenaga negara luar adalah suatu perbandingan yang tidak setara, memandangkan pelaksanaannya lebih memfokuskan kepada perkhidmatan ketenteraan yang aktif untuk satu tempoh yang panjang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada sidang media di Parlimen semalam yang mencadangkan supaya kerajaan tidak meneruskan PLKN 3.0.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan mengambil perhatian dan akan memberi pertimbangan semua perkara yang dibangkitkan oleh jawatankuasa berkenaan berhubung PLKN 3.0.

“Beberapa kajian akademik telah dilaksanakan secara kuantitatif dan kualitatif untuk mengukur impak pelaksanaan program ini. Statistik penglibatan belia, kadar kepuasan peserta, dan pengukuran tahap patriotisme menunjukkan hasil yang positif,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kelemahan semasa pelaksanaan PLKN terdahulu, Kementerian Pertahanan kini sedang membuat persediaan rapi untuk melaksanakan Latihan Percubaan dan Projek Perintis bagi PLKN 3.0 di Kem-Kem Askar Wataniah yang akan bermula Januari 2025.

“Dalam meminimumkan perbelanjaan, Kementerian Pertahanan akan
melaksanakan PLKN di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan beberapa politeknik di seluruh negara.

“Kementerian Pertahanan berpandangan bahawa usaha memupuk patriotisme dan nilai jati diri yang baik dalam diri anak muda bukanlah perkara yang bersifat sampingan, sisipan atau secondary kepada negara.

“Secara rumusan, PLKN 3.0 penting dan kritikal dalam pembinaan negara bangsa. Keadaan sekarang adalah satu situasi yang sangat menyokong dan mewajarkan pelaksanaan semula program ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini