comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PLSM cuai, bukan agensi kerajaan negeri Kedah – Sanusi

 

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggesa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menjalankan siasatan pengendalian kes kerosakan mekanikal pada sensor automatik pada baraj Sungai Muda.

Jelasnya, Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) dipercayai cuai dalam menjalankan pemantauan pelepasan air di baraj itu selama 11 jam.

“PLSM ini adalah agensi dibawah NRECC. Justeru NRECC perlu melihat kecuaian ini, dan ambil tindakan kepada pihak yang bertanggungjawab memantau pelepasan air di baraj yang mengalami kerosakan.”

“Maklumat mengenai pelepasan air berlebihan ini sudah disalurkan Syarikat Air Darul Aman Sendirian Berhad (SADA) kepada pihak PLSM menerusi “group WhatsApp” yang melibatkan pihak yang bertanggungjawab. Bagaimanapun maklumat yang disalurkan pada jam 10 malam, namun penutupan baraj hanya dilakukan pada jam 7 pagi.”

Justeru, Muhammad Sanusi membidas pihak yang menyalahkan mereka sebagai bertanggungjawab terhadap kecuaian memantau baraj Sungai Muda sehingga berlaku kerosakan.

“PLSM bukan agensi kerajaan negeri tetapi yang sering disalah faham dan dibina naratif adalah kegagalan kita kawal selia baraj itu sedangkan ianya 100 peratus dibawah PLSM. Bukan di bawah Lembaga Sumber Air Kedah (LSAK); SADA mahupun Pejabat Menteri Besar Kedah.”

Beliau berkata demikian mengulas mengenai gangguan bekalan air yang menjejaskan lebih 250,000 akaun pengguna di negeri ini dan sebahagian pengguna di Pulau Pinang sejak Ahad berpunca daripada kerosakan mekanikal pada sensor automatik pada baraj Sungai Muda.

Keadaan itu menyebabkan paras Sungai Muda susut mendadak dan menjejaskan muka sauk beberapa loji rawatan air (LRA) termasuk di Sungai Petani-Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech.

Loading...
Terkini